Ada satu perkara yang saya perasan apabila bercakap dengan ramai orang tentang memahami Al-Quran. Bukan semua orang tidak mahu belajar. Ramai sebenarnya mahu. Cuma mereka merasakan pintu masuknya terlalu besar.
Kena ada masa panjang. Kena pandai Bahasa Arab dahulu. Kena masuk kelas tertentu. Kena tunggu jadual lebih lapang.
Akhirnya niat itu baik, tetapi permulaan terus tertangguh.
Sebab itu saya suka idea pembelajaran kecil
Antara perkara yang menarik bagi saya tentang Think Quran ialah cara ia mengecilkan titik permulaan. Bukan suruh kita terus menguasai semuanya. Mulakan dengan beberapa perkataan. Luangkan sekitar lima hingga sepuluh minit. Ulang. Kenal. Bina sedikit demi sedikit.
Lima perkataan mungkin nampak terlalu kecil untuk memberi kesan. Tetapi apabila lima perkataan itu muncul semula dalam ayat yang kita baca, sesuatu berlaku. Bunyi yang sebelum ini terasa asing mula mempunyai makna.
Perubahan besar tidak semestinya bermula dengan masa yang besar. Kadang-kadang ia bermula dengan sesuatu yang cukup kecil untuk kita lakukan lagi esok.
Daripada membaca kepada mula mengenal
Kita tetap membaca Al-Quran dengan adab, tadabbur dan rujukan yang betul. Aplikasi tidak menggantikan guru, tafsir atau disiplin ilmu. Tetapi teknologi boleh membantu satu bahagian yang sangat praktikal: menjadikan kosa kata Al-Quran lebih familiar.
Apabila perkataan mula dikenali, bacaan juga terasa berbeza. Kita mungkin masih belum memahami keseluruhan ayat, tetapi kita tidak lagi berhadapan dengan halaman yang semuanya terasa asing.
Bagi saya, itu satu perubahan yang besar.
Consistency lebih penting daripada semangat sehari
Kita semua pernah bermula dengan semangat. Masalahnya bukan bagaimana hendak belajar selama satu jam pada hari pertama. Masalah sebenar ialah bagaimana hendak kembali pada hari kedua, ketiga dan seterusnya.
Di situlah pendekatan microlearning masuk akal. Sasaran yang kecil mengurangkan alasan untuk tidak bermula. Lima hingga sepuluh minit lebih mudah dicari daripada satu jam. Dan apabila sesuatu cukup mudah untuk diulang, ia mempunyai peluang untuk menjadi kebiasaan.
Teknologi patut mendekatkan, bukan mengganggu
Saya minat teknologi, tetapi saya tidak mahu teknologi menjadi pusat kepada pengalaman ini. Dalam konteks Al-Quran, teknologi sepatutnya senyap. Ia membantu kita belajar, mengingat dan bergerak ke langkah seterusnya, kemudian memberi ruang semula kepada ayat Al-Quran.
Itulah sebabnya saya melihat Think Quran bukan sekadar sebagai aplikasi. Ia adalah satu eksperimen tentang bagaimana teknologi boleh mengurangkan friction antara seseorang dengan hasrat untuk mula memahami bahasa Al-Quran.
Jangan tunggu sampai rasa bersedia
Mungkin kita tidak mempunyai satu jam hari ini. Tetapi mungkin kita mempunyai lima minit.
Mungkin kita belum tahu banyak perkataan. Tetapi kita boleh belajar lima.
Dan mungkin selepas beberapa minggu, ketika perkataan yang pernah kita pelajari muncul dalam solat atau bacaan, kita akan sedar bahawa perjalanan itu sebenarnya sudah bermula.
English version: Think Quran: What Can Five Minutes a Day Change?
Saya turut mendokumentasikan pembangunan ekosistem digital ThinkQuran.ai dalam case study ThinkQuran.ai.